Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM ialah sejenis peperiksaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Usia purata pelajar semasa mengambil SPM ini ialah 17 tahun, iaitu semasa Tingkatan 5. Ia merupakan ujian terakhir pendidikan sekolah menengah.
SPM merupakan syarat untuk pelajar di Malaysia untuk menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Pelajar mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil STPM, Matrikulasi atau Asasi. Pelajar juga boleh mengambil kursus luar negara seperti A-level.
Untuk peperiksaan SPM mulai tahun 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia mula menggunakan format baharu KSSM menggantikan format lama KBSM. Bagi kertas Bahasa Inggeris pula, Kementerian Pendidikan mula menjajarkan format peperiksaan Bahasa Inggeris agar sejajar dengan Common European Framework of Reference (CEFR) yang digunakan diperingkat antarabangsa.